Innalillahhh….
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Endon Mahmood meninggal dunia di kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya jam 7.55 pagi ini setelah beberapa tahun bertarung dengan kanser payu dara.
Allahyarham Endon, 64, menghembus nafas terakhir kira-kira 18 hari selepas kembali daripada menjalani rawatan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Allahyarham meninggalkan dua orang anak.
Pejabat Perdana Menteri mengumumkan orang ramai boleh menziarahi jenazah Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir di Seri Perdana mulai jam 11 pagi melalui pintu utama kediaman rasmi itu.
Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Masjid Putrajaya untuk disembahyangkan pada waktu Asar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Precint 20, Putrajaya.
Abdullah bersama-sama dua anaknya, Kamaluddin dan Nori, menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin serta empat cucu, anak kepada Kamaluddin berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembus nafas terakhirnya.
Ibu Allahyarham, Datin Mariam Abdullah juga berada di sisinya.
Berita kematian Endon, ketika orang ramai hendak memulakan urusan harian, mengejutkan negara yang kemudiannya diselubungi dengan suasana duka cita.
Cuaca di Lembah Klang, termasuk di Putrajaya mendung seolah-olah turut merasai pemergian beliau ke rahmatullah.
Dari DIA kita datang, dari DIA juga kita kembali. Amin!